ZAINAH BINTI ALI -Wanita Pembela Saudara


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Zainah Binti Ali merupakan seorang wanita mulia yang berfikiran terbuka, mempunyai banyak idea, fasih berbicara, dan menguasai ilmu bahasa.


Cucu Pertama Rasulullah SAW

Zainah Binti Ali bin Abi Talib adalah cucu pertama Rasulullah SAW daripada puterinya, Fatimah az-Zahra. Beliau terkenal dengan sikap keberanian dan sokongannya terhadap Husain, abangnya yang syahid di medan Karbala. Beliau juga melindungi seluruh keluarga Husain beberapa bulan selepas itu, ketika mereka dipenjara oleh Dinasti Umaiyah.

Zainah Binti Ali dilahirkan kira-kira lima tahun sebelum datuknya (Rasulullah SAW) wafat. Beliau adalah anak ketiga kepada pasangan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah, iaitu selepas Hasan dan Husain dilahirkan, dengan jarak usia antara mereka bertiga kira-kira satu tahun. Kelahirannya diikuti oleh saudara perempuannya, Ummu Kalthum.


Melahirkan Beberapa Orang Anak

Zainah Binti Ali bernikah dengan anak bapa saudaranya atau sepupunya, iaitu Abdullah bin Ja'far. Beliau melahirkan beberapa orang anak iaitu Muhammad, Ali, Abbas, Ummi Kalthum, dan 'Aunal Akbar. Beliau juga sering menceritakan kisah ibunya, Fatimah binti Muhammad SAW dan Asma binti Umais. Zainah Binti Ali juga meriwayatkan beberapa buah hadis. Ada juga beberapa orang yang meriwayatkan hadis daripadanya, seperti Muhammad bin Amru,Atha bin As.Saib, dan Fatimah binti Husain bin Ali.

Antara beberapa ungkapan Zainah Binti Ali yang terkenal adalah,
"Barangsiapa yang menginginkan makhluk menjadi syafaat(mediator) baginya untuk menuju keredaan Allah, maka hendaklah dia selalu memuji Allah(dengan ucapan alhamdulillah). Tidakkah engkau mendengar perkataan mereka 'sami'a Allahu liman hamidah;(Allah Maha Mendengar orang yang memuji-Nya)? Kemudian Allah meringankan qudrah-Nya yang akan menimpa kamu, dan berasa malu untuk menurunkan cubaan yang lebih besar disebabkan keakraban-Nya dengan kamu."

Zainah Binti Ali meninggal dunia pada tahun 65 Hijrah, dan beliau dimakamkan di Qanathir as-Siba', Mesir. Kini, makamnya menjadi tempat kunjungan orang ramai. Namanya juga dijadikan sebagai nama sebuah masjid di Mesir, iaitu Masjid Saidatina Zainab. Pada tahun 1173 Hijrah bangunan masjid tersebut diubah suai dan ruangan masjid itu dibesarkan lagi.

Wallahu a'alam. Wassalam

sumber : buku 44 Wanita Solehah Dambaan Syurga

No comments :