BEWARE! Mesej Wassup yang Merosakkan Akidah




Assalamualaikum sahabat semua. In sha Allah mesej yang agak penting ifah nak sampaikan kat antum semua, mohon #takenote ye. Antum pernah dapat mesej seperti yang dibawah ni? 

 ↓
Surat Cinta Tentang Solat

✿ Bila engkau anggap solat itu hanya sebagai kewajiban, maka kau akan terburu-buru mengerjakannya & tak akan menikmati hadirnya Allah saat kau mengerjakannya.
✿ Anggaplah solat itu Pertemuan yg kau nanti dgn Tuhanmu.
✿ Anggaplah solat itu sebagai cara terbaik kau Bercerita dengan Allah.
✿ Anggaplah solat itu sebagai kondisi terbaik untuk kau berkeluh kesah dgn Allah SWT.
✿ Anggaplah solat itu sebagai seriusnya kau dlm bermimpi.
✿ Bayangkan ketika "Azan berkumandang," tangan Allah melambai kepadamu utk mengajak kau lebih dekat denganNya.
✿ Bayangkan ketika kau "Takbir," Allah melihatmu, Allah tersenyum untukmu dan Allah bangga terhadapmu.
✿ Bayangkanlah ketika "Rukuk," Allah menampung badanmu hingga kau tak terjatuh, hingga kau merasakan damai dalam sentuhan-Nya.
✿ Bayangkan ketika "Sujud," Allah mengalas kepalamu. Lalu Dia berbisik lembut di kedua telingamu: "Aku mencintaimu wahai hambaKu."
✿ Bayangkan ketika kau "Duduk di antara 2 sujud," Allah berdiri gagah di depanmu, lalu mengatakan: "Aku tak akan diam apabila org mengusikmu."
✿ Bayangkan ketika kau memberi "Salam," Allah menjawabnya, lalu kau jadi manusia berhati bersih.
✿ Masya Allah.. sungguh nikmat solat yg kita lakukan.

MOHON JANGAN DISEBARKAN LAGI MESEJ INI. JELAS BERCANGGAH DENGAN AKIDAH UMAT ISLAM. 
AYAT DIATAS JELAS KUFUR !

Asbabnya seperti yang diterangkan kat bawah ni :

Banyak kalam kufur di dalam post diatas ini. Umat islam tidak boleh memandai-mandai dalam nak bermadah-madah dengan kata-kata yang nampak baik kepada Allah tapi hakikatnya menisbahkan sifat makhluk kepada Allah.

Nauzubillahi minzalik, lihatlah perumpamaan-perumpamaan yang dilakukan dalam post diatas jelas menyifatkan Allah dengan makhluk dan menyangkakan bahawa Allah itu seperti makhluk boleh melambai-lambai tangan, boleh tersenyum, ada sentuhan, boleh berbisik ke telinga dengan sebut aku cinta dirimu, berdiri gagah didepan manusia, dan lain-lain.

Maka mesti difahami akidah yang benar. Allah yang menciptakan makhluknya dan sifat makhluknya, Allah tidak seperti makhluknya. Kaedah yang perlu jelas adalah tidak boleh menyandarkan sesuatu sifat yang bukan datang dari alquran, hadis atau yang telah diijmakkan oleh para ulama tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Jangan pernah sesekali memandai-mandai nak bermadah dengan nama Allah, ini bakal mengudang penisbahan makhluk kepada Allah. Bahkan kufur orang yang menyandarkan sifat makhluk kepada Allah. Tidak boleh berkata, Allah ada tangan melambai-lambai, berbisik dengan makhluknya dengan kata-kata dan lain-lain, ini sifat makhluk. Maha suci Allah daripada sifat makhluk.

Allah bukanlah jisim yang lathif (halus iaitu yang tak boleh dipegang dengan tangan) seperti ruh, angin, cahaya dan bukan jisim yang kathif (kasar iaitu yang boleh dipegang dgn tangan) seperti manusia, pokok, meja, kerusi, haiwan, dan lain-lain. Allah yang menciptakan jisim lathif dan kathif ini, Maha suci Allah daripada bersifat dengan keduanya.

Allah bukanlah jisim yang kecil seperti semut dan bukan juga jisim yang besar seperti gunung. Allah yang menciptakan jisim yang kecil dan besar, Maha suci Allah daripada bersifat dengan keduanya. Allah juga tidak bersifat dengan sifat makhluk (Aradh) seperti duduk, malu, tidur, lambai-lambai, sejuk, panas, penat, ngantuk, rindu, sedih, berbisik, senyum, dan lain-lain. Ini semua sifat makhluk, Maha Suci Allah daripada bersifat dengan sifat makhluk.

Tidak boleh membayangkan Allah di dalam fikiran kita kerana ini adalah kekufuran. Sesuatu yang dpt digambarkan di dalam fikiran manusia tidak lain tidak ianya adalah makhluk.



Kata Imam Ahmad bin Hanbal :

مهما تصورت ببالك فالله لا يشبه ذلك
Apa sahaja yg tergambar difikiranmu Allah tidak seperti itu.


Juga disebut oleh Imam Dzunnun Al-Misriy iaitu anak murid kepada Imam Malik :

مهما تصورت ببالك فالله بخلاف ذلك
Apa sahaja yg tergambar difikiranmu Maka Allah tidak sama seperti itu.

Inilah asas akidah umat islam bahawa Allah tidak sama dengan makhluknya drpd apa jua sudut sekalipun. 

قال الله: ليس كمثله شيء
Allah tidak sama dengan makhluknya dari apa jua sudut sekalipun. (Surah Assyura, ayat 11).

قال الله: ولم يكن له كفوا أحد
Dan tidak ada sekutu bagiNya. (Surah Al-Ikhlas, 112:4)

Umat Islam beriktikad Allah bukan jisim sperti mana yang telah dijelaskan tadi. Maka dilarang juga menisbahkan kepada Allah dengan penisbahan jisim dan sifat-sifat jisim. Allah pencipta bagi jisim, Dia tidak sperti jisim dan sifat jisim malah juga tidak berhajat kepada makhluknya.

Akidah umat islam juga Allah tidak mengambil manfaat daripada amalan hambanya. Allah tidak mula menjadi mulia apabila manusia melakukan ketaatan padanya bahkan Dia telah mulia tanpa terkait lansung dengan amalan hambanya kerana dia tidak berhajat pada amalan hambanya. Ini menafikan bahawa ada dakwaan bahawa Allah menjadi gembira, bangga, sejuk mata memandang amalan hambanya apabila mereka melakukan ketaatan padaNya. Wal'iyazubillah.

Allah juga tidak menerima mudarat daripada penderhakaan hambanya. Allah tidak sesekali jatuh martabat kemuliannya jikalau hambanya melakukan maksiat kepadanya. Bahkan makhluk yang menerima mudarat daripada maksiatnya sendiri. Ini menafikan bahawa ada dakwaan kata Allah sedih melihat hambanya tidak beramal, Allah rindu nak tengok hambanya beramal. Wal'iyazubillah.

Berhati-hatilah dalam postkan sesuatu, Harapnya selepas ini tiada lagi post-post agama yang mana kita tidak ambil dgn guru, tapi mahu juga nak postnya. Ingatlah, setiap apa yg dilakukan akan dipersoal di akhirat. Mengucaplah dua syahadah kembali kepada islam demi menjaga iman kita terus subur dalam jiwa. 

Akidah bukan untuk dibuat mainan, tapi untuk dijaga daripada terjatuh kedalam kekufuran. Maka orang yang tidak mempelajari akidah maka mudahlah mereka tersungkur dalam kehinaan kekufuran walaupun mereka tidak sedar dan jahil. Begitu juga ilmu agama bukan untuk dibuat mainan sebaran tapi ianya perlu kepada disiplin-disiplin tertentu dalam menyebarkannya untuk menjaga kesucian agama itu tersendiri dengan ketulinan ilmu yang sebenar iaitu sebarkan hanya apa yang diambil dari guru yang alim dan thiqah(yakin) dalam menyampaikan ilmu itu yang mana guru itu mengambil daripada guru-gurunya sehinggalah kepada Rasulullah.

Pelajarilah akidah yang mana dengannya kita mengenal Allah dan Rasulnya dan perkara-perkara yang menyebabkan terbatalnya iman iaitu bab riddah (murtad). Sebarkan kepada yang lain supaya mereka tidak lagi menyebarkan mesej kufur seperti ayat-ayat madah kufur diatas demi menjaga kesucian agama dan memelihara Nama Allah yang mulia daripada dihina dan dikeji dengan penisbahan makhluk kepadaNya...Lillahitaala.

No comments :