ZAINAB BINTI ABU SALAMAH AL-MAKHZUMIYAH -Wanita Ahli Fiqah



بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Nama sebenarnya ialah Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah. Beliau adalah seorang wanita yang menguasai hadis dan fiqah. Beliau juga termasuk dalam salah seorang yang paling menguasai bidang fiqah pada zamannya di Madinah.

Meriwayatkan Tujuh Buah Hadis
Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah meriwayatkan tujuh hadis daripada Rasulullah SAW. Selain beliau, ada beberapa orang lagi yang turut meriwayatkan hadis daripadanya, seperti Abu Ubaidah bin Abdullah bin Zam'ah,Muhammad bin Atha, Urak bin Malik, Hamid bin Nafi', Urwah bin Zubair, Abu Salamah bin Abdurrahman, dan Zainal Abidin Ali bin Husin.
Sewaktu anak-anak Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah terbunuh, Hasan pernah berkata,
" Demi Allah, tidak ada seorang pun antara mereka yang selamat. Sesungguhnya dua orang anak Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah telah terbunuh walaupun dia (Zainab) merupakan anak yang pernah diasuh oleh Rasulullah SAW."

Musibah yang Berat
Ketika jenazah kedua-dua orang anaknya diletakkan di hadapannya, Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah berkata,
" Demi Allah, sesungguhnya kehilangan seorang anak sudah cukup berat untuk ku tanggung, apalagi jika musibah ini menimpa kedua-dua orang anakku."

Hasan memberikan isyarat pada yang lain, dan beliau berasa tidak tenang. Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah kemudiannya pulang ke rumah.
" Aku hanya berharap agar rahmat tercurah padanya." kata Hasan.

Zainab binti Abu Salamah al-Makhzumiyah meninggal dunia pada tahun 73 Hijrah. Jenazah Zainab dihantar ke tanah perkuburan Baqi selepas solat Subuh. 
Semoga Allah SWT sentiasa meredainya dan memasukkannya dalam golongan wanita-wanita yang solehah.

Wallahu a'alam. Wassalam.

No comments :