بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Hawwa binti Yazid merupakan salah seorang daripada wanita Muslimah yang mengalami pelbagai dugaan dan cabaran, termasuklah menghadapi pelbagai seksaan demi mempertahankan seruan agama Islam. Beliau sering diganggu oleh suaminya ketika beliau mahu menunaikan solat. Wanita yang tabah ini adalah isteri kepada penyair terkenal pada zaman jahiliah, Qais bin Khatim al-Ausi. Walaupun Hawwa sudah memeluk Islam, tetapi suaminya masih tetap tidak mahu menerima agama suci itu sebagai pegangan hidup.
Menerima Islam
Ummu Amir al-Asyhaliah telah berkata,
" Aku bersama-sama Laila binti Khatim dan Hawwa binti Yazid pergi menemui Rasulullah SAW antara waktu maghrib dan isyak dan kami menutupi badan kami dengan pakaian yang diperbuat daripada bulu. Kemudian, aku mengucapkan salam dan baginda bertanya tentang asal usulku. Lalu, aku menjawab dan Rasulullah bertanyakan pula tentang kedua-dua orang sahabatku. Mereka juga menjelaskan persoalan tersebut.
Kemudian Rasulullah SAW bertanya,
" Apakah maksud kedatangan kamu?"
Kami menjawab,
" Wahai Rasulullah, kami ingin berbaiat dan memeluk Islam kerana kami telah memilih kami dan beriman kepadamu. Kami bersaksi bahawa apa-apa yang kamu sebarkan adalah hal yang benar."
Rasulullah bersyukur dan berkata,
" Segala puji bagi Allah yang telah memberi kamu semua petunjuk untuk memilih agama suci ini. Aku telah menerima baiat kamu semua."
Ummu Amir mendekati baginda, lantas baginda memberitahu,
" Sesungguhnya aku tidak akan menyalami kaum wanita. Ucapanku untuk seribu orang wanita adalah sama dengan apa-apa yang aku katakan kepada seorang wanita."
Ummu Amir kemudian berkata,
" Sesungguhnya kami adalah orang yang pertama membaiatmu wahai Rasulullah."
Hawwa binti Yazid termasuk dalam kalangan orang-orang yang pertama membaiat Rasulullah SAW. Beliau telah memeluk Islam sejak awal lagi semasa berada di Madinah. Akhlak dan keislamannya sangat baik dan beliau merupakan salah seorang wanita Mukminah yang mendapat penghormatan yang besar daripada Rasulullah kerana Rasulullah pernah melindungi dirinya dengan menasihati Qais agar tidak berkelakuan buruk terhadapnya.
Berpegang pada Janji
Hasil perkahwinannya dengan Qais, mereka mempunyai dua orang anak bernama Yazid dan Tsabit. Kedua-dua orang anaknya merupakan sahabat Rasulullah SAW. Ada riwayat mengatakan bahawa Qais sering menyakiti dan menyeksa Hawwa. Hal tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah yang berada di Mekah walaupun mereka sekeluarga tinggal di Madinah. Sebelum Qais meninggal dunia, beliau sempat berjumpa dengan Rasulullah di pasar dekat Mekah.
Pada waktu itu, Rasulullah mengajaknya untuk memeluk Islam dan baginda sangat berharap agar Qais nenerima ajakan tersebut. Kemudian Qais berkata,
" Sungguh indah apa-apa yang engkau ucapkan kepadaku dan usaha itu amat baik, tetapi aku terlalu sibuk memikirkan rancangan peperangan yang aku uruskan dan tidak dapat untuk memikirkan apa-apa yang engkau sampaikan itu."
Rasulullah tetap tidak berputus asa, malah semakin kuat azam baginda untuk mengislamkan Qais. Setiap kali baginda berjumpa dengan lelaki tersebut, baginda tidak berputus asa untuk mengajaknya memeluk agama yang disebarkan itu.
Baginda memanggilnya dengan gelaran Abu Yazid. Pada suatu hari baginda terserempak dengan Qais dan memanggil,
" Wahai Abu Yazid, marilah memeluk Islam."
Namun setiap kali baginda menyuarakan hasrat tersebut, Qais menolak dengan alasan yang sama. Baginda turut melarang Qais daripada berkelakuan kasar terhadap isterinya, Hawwa binti Yazid dengan berkata,
" Wahai Qais, telah sampai pengetahuanku bahawa engkau sering berkelakuan buruk terhadap isterimu, Hawwa binti Yazid semenjak isterimu itu meninggalkan agamamu. Bertakwalah kepada Allah Yang Maha Besar dan jagalah isterimu dan janganlah kamu menyakitinya."
Qais mendengar nasihat Rasulullah SAW untuk tidak lagi berkelakuan buruk terhadap isterinya, walaupun dirinya masih dalam kemusyrikan.
Sejak itu, Hawwa binti Yazid melakukan segala ajaran Islam yang selama ini disembunyikan daripada pandangan suaminya, Qais bin Khatim. Suaminya itu tidak lagi mengganggu dan menyeksanya seperti dahulu.
Seseorang bertanya kepada Qais,
" Wahai Abu Yazid, adakah engkau tahu bahawa isterimu sudak memeluk Islam?"
Qais menjawab,
" Tahu, aku sudah berjanji dengan Muhammad bahawa aku tidak akan lagi mengganggu isteriku dan aku akan menjaganya."
Hal tersebut dikhabarkan kepada Rasulullah dan baginda berkata,
" Al-Udai'ij (nama timbangan Qais) telah melunaskan janjinya."
Hawwa binti Yazid berasa lega kerana dapat beribadat dengan sempurna tanpa gangguan oleh suaminya. Beliau telah melaksanakan semua kandungan baiat dan janjinya kepada Rasulullah. Beliau bersama-sama wanita Islam yang lain berlumba-lumba melakukan kebaikan yang diredai oleh Allah.
Semoga Allah sentiasa merahmati wanita yang ikhlas ini dan menjadikan dirinya dalam kalangan orang-orang terawal masuk ke syurga. Hawwa binti Yazid sesuai dijadikan contoh Mukminah yang penyabar.
Wallahu a'alam.
sumber : Buku 44 Wanita Solehah Dambaan Syurga
No comments :
Post a Comment