بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Sahabat yang dirahmati Allah,
Istighfar sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah SWT atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah s.w.t.
Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah s.w.t. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan segala noda dan dosa yang telah dilakukan.
Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah s.w.t. sambil memohon ampun dari segala dosa.
Allah s.a.w. memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya yang bermaksud : "Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi"(Surah an-Nisaa ayat 106)
Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan)."(Surah Muhammad ayat 19)
Walaupun istighfar adalah sunat, namun perintah Allah s.w.t. pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfar merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan sebagai orang Mukmin untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Qur'an dan hadis-hadis Nabi s.a.w.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"
(Hadis Riwayat Muslim).
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat banyak kebaikan dan fadhilat beristighfar. Antara perkara-perkata tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Di hapuskan dosa-dosanya dan terselamat daripada azab Allah SWT
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar).”
(Surah Al-Anfal ayat 33)
Nabi s.a.w bersabda maksudnya :
"Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan"
(Hadis Riwayat Al Hakim)
Kedua : Mendapat balasan Syurga.
Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
(Surah al-Imran ayat 135-136)
Menurut Qatadah rahimahullah:
“Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.
Berkata Sayyidina Ali k.w.:
“Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.
Ketiga : Terselamat daripada melakukan perbuatan keji .
"Tidaklah (dianggap) melanjutkan (perbuatan keji) orang yang memohon ampun, meskipun dalam sehari ia ulangi sebanyak 70 kali"
(Hadis Riwayat Abu Ya’la Al-Maushuli, Abu Daud, At-Tirmidzi dan Al-Bazzaar dalam Musnadnya, Ibnu Katsiir mengatakan, ia hadis hasan; Tafsiy Ibnu Katsir, 1/408).
Keempat : Di jauhi daripada sifat gelisah (ham) dan berdukacita (hazan).
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita”
Kelima : Tidak akan mendapat penyakit lupa (nyanyuk).
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya :
“Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 kali sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).”
Keenam : Di bebaskan daripada kedukaan , menghilangkan kesempitan hidup dan mendapat rezeki dijalan yang tidak diduga-duga.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :"Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga"(Hadis Riwayat Abu Dawud).
Sahabat yang dikasihi,
Basahkanlah lidah kita dengan istighfar setiap hari lebih daripada 100 kali kerana Nabi SAW yang bersifat maksum dan tidak berdosa pun beristighfar 100 kali sehari, maka kita yang penuh dengan noda dan dosa perlu beristighfar lebih banyak lagi oleh itu lakukanlah sebanyak-banyak yang boleh.
Lidah yang sentiasa beristighfar akan di benci oleh syaitan dan syaitan tidak akan hadir bersama kita.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?"Berkata Iblis, "Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat (beristighfar) dan banyak membaca al-Qur'an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku".
Kalimah istighfar yang perlu kita baca adalah :أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْه'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi'
Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmat dan keampunan Allah s.w.t. dan mendapat balasan Syurga yang disediakan-Nya untuk orang-orang Mukmin, in sha Allah.
1 comment :
Jadikanlah istighfar amalan harian..
Post a Comment